Selasa, 30 November 2010

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Melaka perkenal pelantar memancing

Posted:

Melaka perkenal pelantar memancing

Melaka perkenal pelantar memancing

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my


BUKAN sahaja dapat memancing malah, mereka yang datang bersama keluarga ataupun rakan boleh membakar ikan segar dengan kemudahan membakar yang disediakan di atas pelantar.




JETI Kampung Sempang Pantai, Merlimau menjadi tempat kaki pancing akan berkumpul sebelum menaiki bot ke pelantar.


JASIN 29 Nov. - Melaka sememangnya terkenal dengan pelbagai produk pelancongan, tidak kira sama ada di dalam kawasan pusat bandar ataupun luar bandar, tarikannya di darat atau pun di laut.

Destinasi tumpuan seperti kota lama A'Famosa, Menara Taming Sari, Taman Tema Air Melaka, Zoo Melaka dan Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong sudah sinonim dalam kalangan pelancong asing yang pernah berkunjung ke negeri ini.

Bagaimanapun, selain berkunjung ke destinasi tersebut, anda mungkin boleh mencuba aktiviti memancing bagi mengisi masa percutian anda di negeri ini.

Pelancong mahupun orang awam lain boleh mencuba memancing di lokasi khas disediakan oleh Jabatan Perikanan negeri iaitu di Pelantar Sempang Pantai, Merlimau yang terletak kira-kira 30 minit dari pusat bandar Melaka.

Dengan menaiki selama 10 minit melalui bot khas yang disediakan di Jeti Sempang Pantai, Merlimau, kaki pancing akan dibawa ke Pelantar Sempang Pantai yang terletak di tengah laut Selat Melaka.

Pelantar yang dibina dengan kos sekitar RM40,000 itu mula digunakan sejak November 2009.

Ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perikanan negeri yang mahu memperkenalkan pelantar memancing di tengah lautan ini sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Dengan sokongan Kumpulan Komuniti Pengurusan Perikanan Persatuan Nelayan Kampung Sempang Pantai, aktiviti memancing di pelantar ini sedikit sebanyak membantu pendapatan nelayan di kampung tersebut.

Keadaan ini adalah kerana pengunjung akan berurusan dengan nelayan di sini seperti penghantaran pergi balik dari pelantar tersebut.

Dengan mempunyai kemudahan lengkap seperti bilik air, dua buah bilik untuk lelaki dan perempuan serta dapur untuk memasak, pelantar ini boleh digunakan sebagai pengisian percutian keluarga.

Bayaran yang dikenakan adalah RM30 untuk orang dewasa dan percuma bagi kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berkata, pelantar tersebut menjadi salah satu tarikan utama pelancongan terutamanya kaki pancing yang mahukan satu kelainan sepanjang menjalankan aktiviti ini.

Menurutnya, pembinaan pelantar tersebut adalah yang pertama di negeri ini dan menjadi salah satu matlamat Jabatan Perikanan untuk menarik minat kaki pancing bagi merasai pengalaman memancing di tengah lautan.

''Dengan pelbagai kemudahan yang lengkap disediakan di sini, saya pasti pelantar Sempang Pantai ini akan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dari mereka yang suka memancing.

''Sekali gus ia menggalakkan industri perikanan di negeri ini untuk membangun dan tidak tertumpu kepada hasil nelayan malah menjadikan pelantar ini sebagai salah satu destinasi pelancongan negara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Jabatan Perikanan negeri sedang dalam usaha menambah dua lagi buah pelantar yang ketika ini sedang dijadikan sebagai pusat pembiakan kerang.

''Pelantar yang digunakan sebagai pembiakan kerang ini merupakan salah satu projek perintis seluas 1.6 hektar.

''Jika projek perintis ini berjaya, pihak Jabatan Perikanan negeri akan memperluaskan pembiakan kerang di tengah laut Sempang Pantai sekali gus membantu menjana pendapatan nelayan di sini," katanya.

Kata beliau, dua lagi pelantar akan dibuka sebagai tempat memancing juga dapat menarik lebih ramai kaki pancing untuk menjalankan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menurut Hidhir, bagi yang berminat boleh menghubungi Pegawai Perikanan, Mohd. Kadir Mohd. Yassin di talian 012-9401303.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pelantar Sempang Pantai menakjubkan, berbaloi

Posted:

Pelantar Sempang Pantai menakjubkan, berbaloi

Pelantar Sempang Pantai menakjubkan, berbaloi

JASIN 29 Nov. - Menakjubkan dan berbaloi. Begitulah antara luahan sebahagian pengamal media di negeri ini yang terlibat menyertai Program Memancing Media di Pelantar Sempang Pantai, Merlimau di sini baru-baru ini.

Rata-rata berpendapat, pelantar memancing yang disediakan oleh Jabatan Perikanan negeri dan Kumpulan Komuniti Pengurusan Perikanan Persatuan Nelayan Kampung Sempang Pantai itu sesuai menjadi salah satu produk pelancongan negeri pada masa depan.

Menurut mereka, selain kemudahan dan keselesaan yang lengkap di situ, kedudukan pelantar memancing juga strategik sekali gus memenuhi citarasa golongan kaki pancing.

Bagi wartawan sambilan TV3, Salim Hanafiah, 27, pengalaman memancing di pelantar buatan itu dianggap menarik kerana ia dilengkapi kemudahan lengkap yang sesuai dijadikan sebagai produk pelancongan.

Menurutnya, jika tempat itu dinaik taraf dan dijadikan salah satu produk pelancongan negeri ia mampu menjana pendapatan penduduk di kampung berhampiran yang rata-ratanya terdiri dari kalangan nelayan.

''Sebaik sahaja kawasan ini dijadikan sebagai produk pelancongan, ia dapat membantu ekonomi nelayan di sini dalam membantu menambahkan pendapatan seharian mereka.

''Bukan sahaja bekerja sebagai menangkap ikan,. mereka boleh menggunakan perkhidmatan bot mereka membawa kaki pancing ke pelantar ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Program Memancing bersama Media Melaka yang berlangsung pada pukul 10 malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali.

Seramai 20 orang pengamal media di negeri ini terlibat menjayakan program itu antaranya wakil akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times (NST), Melaka Hari ini (MHI), Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV3.

Bagi jurugambar NST, Muhammad Rasul Azli Samad, 27, pelantar Sempang Pantai sesuai dijadikan sebagai salah sebuah destinasi memancing yang popular pada masa hadapan.

''Dengan kemudahan lengkap dan lokasi yang strategik, tidak mustahil pelantar memancing di sini akan mendapat perhatian umum masyarakat terutamanya kaki pancing yang mahukan cabaran ketika menjalankan aktiviti ini," katanya.

Menurutnya, aktiviti memancing di tengah Selat Melaka ini sekali gus memberi pandangan positif kepada pelancong luar negara mengenai industri perikanan dan pelancongan di negara ini.

Bagi wartawan sambilan Berita Harian, Amir Mamat, 31, pengalaman memancing di pelantar tengah Selat Melaka ini amat menyeronokkan.

''Cabaran memancing di tengah lautan adalah sesuatu perkara yang dinantikan setiap kaki pancing.

''Ini merupakan pengalaman terbaik saya sepanjang menjalankan aktiviti memancing. Jika dahulu hanya berpeluang memancing di kolam, sungai atau pun persisiran pantai, kini saya boleh mengajak rakan-rakan lain untuk memancing di pelantar Sepang Pantai," katanya.

Seorang lagi wartawan NST, Noor Hazwan Hariz Mohd., 26, berharap lebih banyak pelantar dapat didirikan bagi menarik lebih banyak kaki pancing menjalankan aktiviti memancing di sini.

''Mana tahu dengan adanya usaha mendirikan lebih banyak pelantar di mana-mana kawasan perairan Melaka, dapat menarik lebih ramai pengunjung berkumpul di sini sekali gus membantu pendapatan nelayan di negeri ini," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan